Seindah keluarga dalam Islam

Membina Keluarga Bahagia Dengan Mengamalkan Ilmu Dan Ajaran Islam.

Seindah Tazkirah

Peringatan Buat Diri Yang Lemah, Jadikan Hari Ini Lebih Baik Daripada Semalam.

Seindah Ibadah Untuk Diamalkan

Biarkan Ibadahmu Menjadi Rahsia Seperti Kamu Merahsiakan Dosa-Dosamu. .

Seindah Wanita Solehah

Dunia Adalah Perhiasan Dan Seindah-Indah Perhiasan Adalah Wanita Solehah.

Seindah Tentang Rasulullah SAW

Kekasih Hati Yang Dirindui.

Seindah Sumber Inspirasi Penentu Kejayaan

Kenali Insan Yang boleh Memberi Motivasi Untuk Kita Lebih Maju Dalam Kehidupan.

Monday, October 13, 2014

Tuntutan Taubat

Daripada Abu Hurairah ra katanya : “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda : “Demi Allah sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadanya di dalam sehari lebih daripada 70 kali.” Riwayat Bukhari

Huraian Hadith: 

1.    Rasulullah S.A.W menggalakkan umatnya supaya banyak beristighfar dan bertaubat, kerana baginda S.A.W sendiri walaupun tidak berdosa dan merupakan hamba pilihan, baginda bertaubat lebih dari 70 kali sehari.

2.    Setiap individu yang Melakukan dosa samada dosa kecil atau besar wajiblah bertaubat supaya diampunkan dosa dan tidak berterusan melakukan perbuatan dosa itu.    

3.    Bertaubat dan beristighfar secara berterusan akan menghapuskan dosa yang dilakukan secara tidak disedari.

4.    Sebagai hamba Allah kita hendaklah bertaubat dengan mengikut syarat-syarat taubat seperti berikut:

i)                    Berazam dan bertekad untuk meninggalkan (tidak akan mengulangi lagi) perbuatan dosa yang telah dilakukan.
ii)                  Kesal (menyesali) dan berduka di dalam hati terhadap perbuatan dosa yang dibuat.
iii)                Bersegera meninggalkan dosa yang telah dilakukan semata-mata kerana Allah.
iv)                Jika dosa yang dilakukan berkaitan dengan orang lain, syaratnya ia wajib membebaskan dirinya dari hak yang bukan miliknya untuk dikembalikan kepada yang berhak atau minta dihalalkan, ini bererti jika berupa harta benda wajib dikembalikan. Jika berupa fitnah, ghibah (umpatan), penghinaan, cacian, kutukan, laknat dan kezaliman, maka wajib meminta maaf daripada orang tersebut terutama terhadap kezaliman yang dilakukan kepadanya.

Monday, September 29, 2014

Berpuasa Pada Hari Arafah

Diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari r.a. bahawa Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda: "Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang." (Riwayat Muslim)

Huraian Hadis:

1. 10 Zulhijah bakal menggamit lagi menandakan ketibaan Aidiladha bersama-sama dengan laungan tahmid memuji Allah di atas segala nikmat kurniaan-Nya termasuk nikmat berhari raya.

2. Kemeriahan Aidiladha akan lebih terasa apabila umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji di Mekah bersama-sama menunaikan puasa sunat hari Arafah. Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang.

3. Islam sentiasa mengawal setiap tindak-tanduk umatnya di mana setiap amalan yang dikerjakan hendaklah bertepatan dengan kehendak syarak dan akan diberi ganjaran pahala termasuklah juga perkara-perkara yang harus.

Friday, September 12, 2014

Haji Dapat Membersihkan Segala Dosa

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya:” Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda,: Sesiapa yang mengerjakan haji, kemudian tidak mengerjakan dosa dan maksiat, nescaya ia bersih dari dosa-dosa sepertimana ia baru dilahirkan oleh ibunya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith:

1. Allah S.W.T telah memfardhukan ibadat haji pada tahun kesembilan hijrah.

2. Orang yang mengerjakan haji dengan ikhlas dan sempurna serta menjauhi diri daripada melakukan maksiat dan dosa, nescaya ia bersih dari segala dosa sepertimana ia baru dilahirkan.

3. Ibadat haji merupakan amalan suci yang menguji kekuatan iman seseorang hamba kerana ia berkait rapat dengan pengorbanan harta benda, tenaga, nyawa dan sebagainya.

4. Umat Islam yang mengerjakan ibadat haji hendaklah mengerjakannya dengan penuh ikhlas kerana Allah S.W.T di samping berdoa agar haji yang dilakukan itu diterima oleh Allah S.W.T.

Thursday, September 4, 2014

Kewajiban Menunaikan Ibadat Haji

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. telah berkhutbah kepada kami semua serta bersabda:” Wahai manusia sesungguhnya Allah S.W.T. mewajibkan ke atas kamu ibadat haji. Maka hendaklah kamu semua mengerjakannya. Tiba-tiba seorang lelaki bertanya, adakah wajib ditunaikan setiap tahun ya Rasulullah?. Baginda hanya berdiam diri sahaja, tidak menjawab pertanyaan lelaki itu, sehingga lelaki itu bertanya tiga kali, Rasulullah S.A.W. bersabda, jika aku menjawab ya, ibadat haji akan menjadi wajib pada setiap tahun, tentu kamu semua tidak terdaya mengerjakannya. Seterusnya baginda bersabda, janganlah bertanya lagi kepadaku tentang perkara ini, apa sahaja yang aku tidak menyebutnya maka tinggalkan sahaja. Sesungguhnya orang yang sebelum kamu itu menjadi rosak disebabkan terlalu banyak mengemukakan pertanyaan mereka, kemudian mereka menyalahkan Nabi-Nabi mereka. Oleh yang demikian apabila aku memerintahkan kepada kamu semua dengan sesuatu perkara, lakukanlah dengan bersungguh-sungguh mengikut kemampuan kamu. Sebaliknya jika aku melarang kamu semua dari melakukan sesuatu perkara itu hendaklah kamu tinggalkan”. (H.R Muslim)

Huraian Hadith:

1. Ibadat Haji adalah merupakan rukun Islam yang kelima. Maka adalah menjadi kewajiban kepada semua umat Islam untuk mengerjakannya, jika sudah memenuhi dan mencukupi semua syarat-syaratnya.

2. Allah S.W.T sekali-kali tidak memberatkan hambanya di dalam mengerjakan ibadat yang wajib ataupun sunat kerana setiap hukum yang telah ditetapkan di dalam al-Quran dan juga hadith adalah berdasarkan kemampuan seseorang hamba itu sendiri.

3. Islam melarang kita mempersoalkan perkara-perkara yang telah ditetapkan oleh syarak, seperti perkara yang wajib, sunat, makruh, harus, haram dan sebagainya kerana semakin banyak pertanyaan, akan menimbulkan kesusahan dan kesulitan sehingga kadangkala berlaku perselisihan akibat saling menyalahkan satu sama lain.

4. Islam mengajar umatnya supaya mentaati pemimpin-pemimpin mereka selagi mereka tidak menyuruh melakukan perkara-perkara maksiat serta melanggar perintah Allah S.W.T. dan Rasul-Nya.

Wednesday, August 27, 2014

Hikmah Sakratul Maut

Dari Aisyah r.a katanya: "Aku melihat Nabi S.A.W semasa Baginda hampir wafat dan disisinya sebuah bejana berisi air, dan Baginda memasukkan tangannya ke dalam bejana itu lalu menyapu mukanya, sesudah itu Baginda berdoa: "Ya Tuhanku! Berilah aku pertolongan terhadap penderitaan-penderitaan maut atau sakratul maut (yang sedang aku hadapi)". Riwayat Aisyah r.a


Huraian hadith:

1) Sakratul Maut adalah suatu penderitaan yang dialami oleh roh dan jasad dengan keadaan yang tertentu pada masa roh hendak meninggalkan jasad seseorang.

2) Ia (sakratul maut) akan tetap ditempuh oleh setiap manusia dengan berbagai-bagai cara sama ada dengan cara yang berat dan sukar atau yang mudah dan senang.

3) Menurut huraian para ulama', Allah S.W.T menjadikan nabi-nabi dan wali-wali-Nya menderita sukar menghadapi sakratul maut hanyalah untuk menambahkan ketinggian darjat mereka sedangkan bagi orang-orang Islam yang lain mengalami kesukaran sakratul maut adalah sebagai kaffarah (penghapus dosa) daripada kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan.

4) Berdasarkan hadith ini suatu kesimpulan dapat dibuat bahawa anggapan tentang beratnya ˜sakratul maut' itu menandakan kemurkaan Tuhan dan ringannya pula menandakan keredaan Tuhan adalah tidak benar. Malah ia sebenarnya bergantung pada kedudukan seseorang itu di sisi Allah S.W.T, bukan berdasarkan penilaian mata kasar dan mata hati manusia semata-mata.

Monday, August 18, 2014

Tiga Buah Masjid Yang Dituntut Beribadat Di Dalamnya

Dari Abu Hurairah, r.a. dari Nabi S.A.W. sabdanya: Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidil Haram (di Mekah), dan masjid Rasulullah S.A.W. (di Madinah) serta Masjid al-Aqsa (di Palestin)(H.R Bukhari)

Huraian Hadith:

1. Umat Islam dituntut berziarah untuk menunaikan ibadah (pengabdian kepada Tuhan) ke tempat berikut:

i. Masjidil Haram di Mekah
ii. Masjid Nabi di Madinah
iii. Masjidil al-Aqsa di Palestin.

melebihi daripada tempat-tempat lain di dunia ini kerana beribadah di ketiga-tiga tempat ini telah dijanjikan ganjaran pahala yang besar.

2. Diantara fadhilat-fadhilatnya ialah:

i. Kelebihan Masjidil haram ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat seratus ribu (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain dan di dalamnya terletak Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam.

ii. Kelebihan Masjid Nabawi pula ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat seribu (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain, dan di dalamnya ada makam Nabi S.A.W dan sebagai sebuah taman dari taman-taman syurga.

iii. Kelebihan Masjid al-Aqsa pula ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat lima ratus (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain, dan keistimewaannya ialah ia adalah merupakan masjid para Nabi yang terdahulu dan tempat Israk dan Mikrajnya Nabi S.A.W.

Thursday, August 7, 2014

Sunat Berpuasa Enam Hari Di Bulan Syawal

Daripada Abu Ayub RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun”.   (Riwayat Muslim)

Huraian Hadis:

1. Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan, walaupun sedikit.

2. Orang yang berpuasa Ramadan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Hal ini disebabkan puasa sunat satu hari bersamaan pahalanya dengan sepuluh hari. Manakala puasa Ramadan bersamaan dengan sepuluh bulan, maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian dicampurkan dengan sepuluh bulan jumlahnya menjadi setahun.

3. Seseorang yang hendak berpuasa sunat di bulan Syawal adalah lebih afdal berturutan seperti puasa bulan Ramadan, tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal.

Tuesday, July 22, 2014

Cara Menyambut Hari Raya Aidil Fitri

1. Menyambut hari raya dengan laungan takbir dan memuji Allah
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud;
“Kamu hiasilah dua hari raya dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis”. (Riwayat Abu Na’im dari Anas r.a.).

2. Mandi sunat
Disunatkan mandi hari raya sekalipun tidak berhasrat untuk menghadiri majlis solat hari raya kerana hari raya adalah yaum az-zinah iaitu hari perhiasan. Sunat mandi ini adalah berdasarkan amalan sahabat di mana Imam Malik meriwayatkan dari Nafi’ menceritakan yang bermaksud;
“Sesungguhnya Ibnu Umar r.a. mandi pada hari raya fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya”. (Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’)

3. Berwangi-wangian dan dan memakai pakaian baru.
Berdalilkan hadis dari Hasan bin Ali r.a, cucu Rasulullah yang menceritakan;
“Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami pada dua hari raya supaya memakai pakaian sehabis elok yang kami perolehi, berwangi dengan wangian paling harum yang kami perolehi dan supaya kami menyembelih korban dengan binatang paling gemuk yang kami miliki”. (Riwayat Imam al-Hakim dan at-Thabrani).

4. Beramai-ramai menghadiri tempat solat hari raya
Disunatkan pada hari raya umat Islam keluar beramai-ramai ke tempat solat hari raya termasuk kaum wanita. Ummu ‘Athiyyah r.a. menceritakan;
“Kami (para wanita di zaman Nabi s.a.w.) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya” (Riwayat Imam Bukhari).

5. Keluar awal ke tempat solat (kecuali imam)
Disunatkan hadir awal pagi selepas subuh kecuali imam di mana ia disunatkan hadir pada waktu solat hari raya hendak dilaksanakan. Imam sunat melewatkan sedikit hadir supaya dapat memberi lebih masa kepada kaum muslimin untuk membayar zakat fitrah (kerana zakat fitrah afdhal dikeluarkan sebelum solat hari raya).

6. Menikmati juadah sebelum keluar (khusus bagi hari raya fitrah)
Disunatkan pada hari raya fitrah menikmati sedikit makanan sebelum keluar bagi menunaikan solat sunat hari raya fitrah. Anas r.a. juga menceritakan;
“Adalah Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada pagi hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan beberapa biji tamar. Baginda makan tamar-tamar itu dengan bilangan yang ganjil”. (Riwayat Imam Bukhari)

7. Keluar berjalan kaki dan melalui jalan berbeza ketika pulang
Disunatkan pergi ke tempat solat atau ke masjid dengan berjalan kaki dalam keadaan tenang. Apabila pulang, disunatkan melalui jalan yang lain dari jalan yang dilalui ketika pergi tadi. Ibnu ‘Umar r.a. menceritakan;
“Rasulullah s.a.w. keluar untuk menunaikan solat hari raya dengan berjalan kaki dan pulang dengan berjalan kaki”. (Riwayat Imam Ibnu Majah)

Imam Bukhari meriwayatkan dari Jabir r.a.;
“Adalah Nabi s.a.w. pada hari raya baginda melalui jalan yang berbeza (yakni ketika pergi melalui satu jalan dan ketika pulang melalui jalan yang lain)”.

8. Segera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya.
Disunatkan bersegera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya didirikan. Ibnu Umar r.a. menceritakan;
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menyuruh agar dikeluarkan zakat fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya untuk mengerjakan solat”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

9. Mengucapkan tahniah, menzahirkan kegembiraan dan bersalam-salaman
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;
“Tidak ada dua orang muslim yang berjumpa, lalu mereka berdua saling berjabat tangan melainkan akan diampunkan bagi kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah lagi”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Anas r.a.)

Tuesday, July 15, 2014

Menghidupkan 10 Malam Akhir Ramadhan

Daripada  Aisyah RA, katanya: “Kebiasaan Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh malam yang terakhir (malam yang kedua puluh satu hingga tiga puluh dari bulan Ramadan) baginda menghidupkan malam-malam tersebut, dan bersungguh dalam melakukan ibadat serta menjerut tali pinggangnya.”
Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian Hadis:

1. Hadis ini menunjukkan bahawa dituntut kita tidak melepaskan peluang untuk memperbanyak amal soleh apabila tibanya waktu atau hari-hari yang mempunyai kelebihan ganjaran di sisi Allah SWT.

2. Sunat menghidupkan malam Ramadan dengan melaksanakan sebanyak yang mampu dengan ibadah sunat disamping tidak meninggalkan ibadah wajib terutamanya sepuluh yang akhir kerana pada malam tersebut adanya Lailatulqadar.  .

3. Golongan yang pandai lagi cerdik akan mengejar untuk dapat segala ganjaran yang ditawarkan dengan mengembeling segala tenaga supaya memperolehi segala ganjaran itu. Ganjaran yang dijanji oleh Allah SWT dalam bulan Ramadhan ini amatlah besar yang tidak ada bandingan dengan dunia dan segala isinya iaitu kasih sayang dari Allah, pengampunan dan kebebasan dari azab api neraka.

Wednesday, July 9, 2014

Kewajipan Membayar Zakat

Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya: “Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa daripada perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain.”

(Riwayat  Abu Daud)

 Huraian Hadis:

1. Zakat fitrah adalah diwajibkan kepada semua orang-orang Islam yang hidup dalam bulan Ramadhan dan Syawal.

2. Zakat fitrah ialah zakat badan yang dikeluarkan untuk diberi kepada golongan tertentu bagi membersihkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia sepanjang bulan Ramadan.

3. Zakat yang diwajibkan ialah berupa makanan utama di sesebuah negeri seperti beras, gandum, jagung dan sebagainya.

4. Pembayaran fitrah boleh dengan menggunakan wang ringgit sebagai ganti beras fitrah dengan niat bertaklid kepada mazhab Hanafi, mengikut kadar nilai yang ditetapkan oleh pihak pemerintah.

5. Zakat fitrah boleh dibayar dari awal Ramadan sehingga akhirnya iaitu sebelum sembahyang hari raya. Maka bagi sesiapa yang membayarnya selepas sembahyang hari raya, baginya menjadi sedekah biasa sahaja.

Tuesday, July 1, 2014

Ganjaran Puasa Ramadan

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azzawajalla berkata: “Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.  Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhan-Nya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.”(Riwayat Bukhari & Muslim)


Pengajaran Hadis:

1. Puasa merupakan perkara “dharuriah” dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.

2. Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadan berlangsung.

3. Bulan Ramadan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah SWT.

4. Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadan dan diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW.

5. Ramadan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadan ini kerana bulan Ramadan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah SWT.

Friday, June 27, 2014

Kewajipan Berpuasa Di bulan Ramadhan

Daripada Abi Hurairah r.a. berkata bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda; Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan (hilal) dan berbukalah kamu (berhari raya) kerana melihat hilal. Apabila hilal terlindung awan daripada pandangan kamu, maka sempurnakanlah bulan tersebut (tiga puluh hari).


Huraian Hadith:

1. Puasa ialah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai daripada terbit fajar hingga tenggelam matahari.

2. Umat Islam diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan apabila sahaja ternampaknya hilal iaitu anak bulan, dan disertai pula pengisytiharan bermulanya puasa oleh pihak yang berkuasa.

3. Asas penentuan bulan Ramadhan dan Syawal adalah berpandukan kepada anak bulan (hilal) yang disandarkan kepada dalil al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

4. Islam juga telah memberi garis panduan kepada umatnya untuk menentukan tarikh puasa dan juga hari raya dengan mengikut rukyah atau pun hisab.

5. Orang yang berpuasa mempunyai dua kegembiraan, iaitu ketika berbuka dan kegembiraan ketika menemui Allah di hari akhirat kelak.

Friday, June 20, 2014

Mengqada Puasa Wajib

Daripada Aisyah ra, ia berkata: “Adalah aku mempunyai tanggungan puasa Ramadhan, aku tidak dapat membayarnya kecuali pada bulan Syaaban, kerana kesibukan daripada Rasulullah S.A.W atau kesibukan bersama Rasulullah S.A.W.”   (Riwayat Muslim)

Huraian Hadis:

1. Allah tidak membezakan penilaian terhadap kualiti ibadah yang dikerjakan oleh hamba-Nya sama ada lelaki mahupun wanita di mana kaum wanita secara tabiinya pasti terdapat kekurangan dalam ibadahnya dibandingi laki-laki. Hal ini disebabkan mereka mungkin tidak dapat berpuasa beberapa hari di bulan Ramadan dan tidak dapat mengerjakan solat disebabkan haid, begitu juga dengan beberapa ibadah lain yang dibenarkan oleh syarak.

2. Semua kurang dan lebih ini hanyalah berlaku dalam penilaian kuantiti, bukan kualiti. Oleh itu bagi setiap wanita yang suci dan sihat tanpa sebarang keuzuran di sisi syarak hendaklah menggunakan peluang tersebut untuk mengerjakan amal ibadat dengan sebaik mungkin serta menggantikan puasa yang ditinggalkan itu mengikut ketetapan dan peraturan yang ditetapkan oleh syarak.

3. Pada bulan ini juga dituntut supaya memperbanyakkan puasa sunat. Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah mencatat untuknya pahala seperti pahala 70 orang Nabi dan seperti orang yang beribadat kepada Allah Taala selama 77 tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid".

Tuesday, June 10, 2014

Halal Dan Haram Adalah Jelas


Dari Abi 'Abdillah Annu'man bin Basyir r.a. telah berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W. telah bersabda:" Sesungguhnya sesuatu yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan diantara keduanya ada perkara yang samar-samar yang kebanyakan manusia tidak mengetahui. Maka barangsiapa menjaga dirinya dari barang-barang (perkara) yang samar itu, maka ia telah membersihkan agamanya dan kehormatannya, dan barangsiapa yang jatuh dalam melakukan perkara yang samar-samar itu, maka ia telah jatuh dalam perkara haram seperti pengembala di sekeliling tanah larangan (halaman orang), lambat-laun ia akan masuk ke dalamnya. Ingatlah bahawa tiap-tiap raja ada larangannya. Ingatlah bahawa larangan Allah adalah apa-apa yang diharamkanNya. Ingatlah bahawa dalam jasad itu ada seketul daging, jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya, dan jika ia rusak, rusaklah jasad seluruhnya. Ingatlah, itu adalah hati." (Imam Bukhari dan Muslim)

1. Halal boleh didefinisikan sebagai perkara yang diperbolehkan, atau mubah, yang telah gugur daripadanya ikatan atau simpulan bahaya, dan syariat membenarkan perbuatannya. Berdasarkan pandangan ilmu usul al-Fiqh, halal juga disebut sebagai mubah, ibahah dan jaiz iaitu perkara yang diberi pahala apabila melakukannya dan tidak ada apa-apa dosa jika meninggalkannya.

2. Haram boleh didefinisikan sebagai sesuatu perkara yang dilarang oleh syariat melakukannya dengan larangan yang pasti, yakni tidak boleh berubah, sehingga mendedahkan sesiapa yang melanggar larangan itu kepada siksa Allah S.W.T. di hari akhirat, dan ada kalanya boleh menyebabkan dia menerima siksa yang ditetapkan oleh syariat ketika di dunia juga.

3. Hendaklah difahami bahawa barang yang haram itu bukanlah semata-mata terletak kepada makanan mahupun minuman semata-mata bahkan jua kepada semua aspek kehidupan. Sebagai contoh, zina itu adalah haram dan jijik di sisi Islam. Menfitnah atau mengumpat juga merupakan satu perbuatan yang haram.

 4. Hendaklah diingatkan bahawa, mereka yang wara' itu akan meninggalkan perkara yang padanya mempunyai sifat syubhah kerana mereka risau akan jatuh ke dalam lembah yang haram sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis diatas.

Wednesday, May 21, 2014

Istiqamah Dengan Islam

Daripada Abu Amru yang dikenali juga dengan Abu Amrah iaitu Sufian bin Abdullah as-Saqafi RA katanya, “Wahai Rasulullah katakanlah kepadaku mengenai Islam dengan jelas supaya aku tidak perlu lagi bertanya kepada seseorang selain daripada engkau.” Sabda Rasulullah, “Katakanlah, aku beriman kepada Allah kemudian berpegang teguhlah di atas jalan yang lurus.” (H.R. Muslim)


Huraian Hadis:

1. Istiqamah ialah memelihara batas-batas syarak dengan melakukan segala suruhan wajib dan mengambil berat suruhan sunat serta meninggalkan perkara-perkara yang haram dan berusaha supaya tidak melakukan perkara-perkara makruh. Saidina Umar al-Khatab RA berkata: Istiqamah itu ialah melakukan suruhan dan menjauhi larangan, dan tidak menyimpang ke sana dan ke sini seperti kelakuan seekor musang.

2. Dakwaan beriman semata-mata tidak memadai jika tidak dibuktikan dengan amalan yang betul mengikut syarak. Ini kerana amalan zahir baik atau buruk itu adalah terjemahan kepada iman yang tersemat di dalam jantung hati.

3. Orang-orang Mukmin wajiblah istiqamah mengerjakan ibadat fardu dan  mengambil berat ibadat sunat bukan dengan cara bermusim seumpama apabila datangnya bulan Ramadan, umat Islam berpusu-pusu ke masjid, apabila tiba  bulan Rabiulawal ramai yang mengamalkan sunnah Rasul namun apabila lenyapnya bulan-bulan ini kita kembali ke tabiat asal.

4. Iman adalah perkara asas di dalam Islam, oleh itu tingkatkanlah keimanan kerana dengan iman yang kuat akan mendorong seseorang untuk beristiqamah melakukan ibadah wajib dan sunat seikhlas-ikhlasnya dan melahirkan diri sebagai seorang hamba Allah.

Friday, May 16, 2014

Memelihara Ketenteraman Tetangga Tanda Kesempurnaan Iman

Daripada Abu Hurairah ra bahawasanya nabi S.A.W bersabda, “Demi Allah, tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman”, lalu ditanya, “Siapa (yang tidak sempurna imannya) wahai Rasulullah?”, jawab baginda, “Iaitu orang yang tidak memberi ketenteraman kepada jirannya dengan sebab kejahatan yang dilakukannya”. Riwayat:  Bukhari dan Muslim

Dalam riwayat Muslim “Tidak masuk syurga orang yang tidak mententeramkan jirannya dengan sebab kejahatannya”.


Huraian Hadith:

·         Islam melarang umatnya mengganggu ketenteraman jiran supaya tidak berlaku porak-peranda dan pecah belah sesama jiran.

·         Orang yang menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan jiran adalah dianggap oleh Rasulullah sebagai tidak sempurna imannya dan tidak berakhlak mulia.

·         Perkara-perkara yang boleh mengganggu jiran ialah seperti melakukan perkara yang menyebabkan bunyi bising hingga jiran tidak dapat rehat atau tidur dengan tenteram. Begitulah juga sekiranya kita melakukan ibadah seperti berzikir atau membaca al-Quran dengan suara yang kuat, memasang radio atau memasang ceramah agama hingga menggangu jiran, juga hukumnya haram.

·         Kita juga seharusnya menghormati hak jiran dalam  urusan membina atau menghiasi rumah supaya tidak menghalang  angin atau merosakkan halaman rumah jiran.    

·         Jiran yang dimaksudkan tidak terbatas kepada jiran kediaman semata-mata, malah merangkumi setiap kejiranan seperti kampung, daerah, negeri dan negara.

Thursday, May 8, 2014

Jangan Mendedahkan Aib Orang lain

Daripada Ibnu Umar ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Orang Islam itu adalah saudara kepada seorang Islam yang lain, tidak boleh dia menzaliminya atau membiarkannya dizalimi. Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya nescaya Allah akan memenuhi hajatnya dan sesiapa menolong seorang Islam lain untuk melepaskan daripada satu kesusahan nescaya Allah akan melepaskannya daripada kesusahan dan penderitaannya di hari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya di hari kiamat”. Riwayat: Bukhari dan Muslim

Huraian Hadith: 
  1. Setiap orang Islam adalah bersaudara antara satu dengan yang lain.
  2. Setiap orang Islam berkewajipan menolong saudara seagamanya yang ditimpa kesusahan.
  3. Seorang Islam tidak boleh mendedahkan keburukan dirinya atau saudaranya kepada orang lain bahkan dia wajib merahsiakannya.
  4. Islam ialah agama yang mengutamakan persaudaraan, tolong-menolong dan lindung-melindungi daripada kemungkaran.
  5. Setiap orang Islam wajib memelihara segala tingkah laku supaya tidak menjatuhkan dirinya kepada keaiban atau kezaliman dirinya.

Saturday, May 3, 2014

Tinggal Perkara-Perkara Syubhat

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad.
Ketahuilah ia adalah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith:
1    1 1 Perkara Halal Jelas, Perkara Haram Jelas : Yang telah dinaskan seperti kahwin, makan benda-benda yang baik. manakala yang haram sprt. minum arak, judi, zina dan riba.

2    2 2 Perkara-perkara Syubhat : berlaku dalam ibadah, muamalat dan lainnya yang tidak jelas halal dan haram dan tidak ada nas padanya.

3    3 3 Bila berhadapan dengan syubhat : tinggalkan perkara-perkara tersebut untuk elakkan jatuh kepada dosa dan supaya dapat keredhaan Ilahi. Tinggal perkara-perkara syubhat menunjukkan seseorang itu bersifat dengan sifat wara’ dan kesempurnaan iman.

Thursday, April 10, 2014

Hasad Dengki Adalah Haram

Daripada Abu Hurairah ra katanya, Rasulullah S.A.W bersabda, “Jangan dengki-mendengki, jangan tawar-menawar untuk mengelirukan orang lain, jangan benci-membenci, jangan pulau-memulau dan jangan kamu membeli barang yang telah dibeli oleh orang lain. Jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara. Orang Islam adalah bersaudara dengan orang Islam yang lain. Tidak boleh menzalimi, merendah-rendah dan menghinanya. Takwa adalah di sini, nabi mengisyarat tiga kali. Cukup seseorang itu dianggap jahat sekiranya dia menghina saudaranya sesama Islam. Setiap orang Islam ke atas orang Islam diharamkan darahnya, hartanya dan maruahnya (hak kemuliaannya).” Riwayat Muslim.

Huraian Hadith:

1.    Orang Islam tidak boleh bersifat dengki-mendengki, benci-membenci dan pulau memulau antara satu dengan lain.

2.    Hasad dengki adalah haram kerana seolah-oleh menentang ketentuan Allah S.W.T. Hasad dengki adalah di antara sifat-sifat mazmumah. Sifat buruk ini kebiasaannya terjadi apabila melihat orang lain lebih daripadanya maka dia akan cuba menjatuhkannya'. Oleh itu awasilah diri daripadanya kerana ia adalah dosa yang pertama sekali dilakukan oleh Iblis laknatullah yang telah menolak perintah Allah agar sujud kepada Nabi Adam a.s. Hasad dengki juga adalah punca peristiwa pembunuhan Habil oleh saudaranya Qabil.

3.    Orang Islam berkewajipan menjaga kepentingan orang Islam yang lain.

4.    Orang Islam tidak boleh membuat spekulasi harga yang bertujuan menipu orang ramai dalam urusan perniagaan.

5.    Menzalimi, merendah-merendahkan dan menghina saudara seagama adalah perbuatan yang jahat dan terlarang dalam agama.

6.    Islam ialah agama yang sempurna merangkumi aqidah, syariah (muamalah dan ibadah) dan akhlak, tidak sempurna salah satunya tanpa yang lain, kesemuanya terkumpul dalam satu kalimat iaitu “takwa” yang tempatnya ialah jantung hati.