Seindah keluarga dalam Islam

Membina Keluarga Bahagia Dengan Mengamalkan Ilmu Dan Ajaran Islam.

Seindah Tazkirah

Peringatan Buat Diri Yang Lemah, Jadikan Hari Ini Lebih Baik Daripada Semalam.

Seindah Ibadah Untuk Diamalkan

Biarkan Ibadahmu Menjadi Rahsia Seperti Kamu Merahsiakan Dosa-Dosamu. .

Seindah Wanita Solehah

Dunia Adalah Perhiasan Dan Seindah-Indah Perhiasan Adalah Wanita Solehah.

Seindah Tentang Rasulullah SAW

Kekasih Hati Yang Dirindui.

Seindah Sumber Inspirasi Penentu Kejayaan

Kenali Insan Yang boleh Memberi Motivasi Untuk Kita Lebih Maju Dalam Kehidupan.

Tuesday, July 22, 2014

Cara Menyambut Hari Raya Aidil Fitri

1. Menyambut hari raya dengan laungan takbir dan memuji Allah
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud;
“Kamu hiasilah dua hari raya dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis”. (Riwayat Abu Na’im dari Anas r.a.).

2. Mandi sunat
Disunatkan mandi hari raya sekalipun tidak berhasrat untuk menghadiri majlis solat hari raya kerana hari raya adalah yaum az-zinah iaitu hari perhiasan. Sunat mandi ini adalah berdasarkan amalan sahabat di mana Imam Malik meriwayatkan dari Nafi’ menceritakan yang bermaksud;
“Sesungguhnya Ibnu Umar r.a. mandi pada hari raya fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya”. (Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’)

3. Berwangi-wangian dan dan memakai pakaian baru.
Berdalilkan hadis dari Hasan bin Ali r.a, cucu Rasulullah yang menceritakan;
“Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami pada dua hari raya supaya memakai pakaian sehabis elok yang kami perolehi, berwangi dengan wangian paling harum yang kami perolehi dan supaya kami menyembelih korban dengan binatang paling gemuk yang kami miliki”. (Riwayat Imam al-Hakim dan at-Thabrani).

4. Beramai-ramai menghadiri tempat solat hari raya
Disunatkan pada hari raya umat Islam keluar beramai-ramai ke tempat solat hari raya termasuk kaum wanita. Ummu ‘Athiyyah r.a. menceritakan;
“Kami (para wanita di zaman Nabi s.a.w.) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya” (Riwayat Imam Bukhari).

5. Keluar awal ke tempat solat (kecuali imam)
Disunatkan hadir awal pagi selepas subuh kecuali imam di mana ia disunatkan hadir pada waktu solat hari raya hendak dilaksanakan. Imam sunat melewatkan sedikit hadir supaya dapat memberi lebih masa kepada kaum muslimin untuk membayar zakat fitrah (kerana zakat fitrah afdhal dikeluarkan sebelum solat hari raya).

6. Menikmati juadah sebelum keluar (khusus bagi hari raya fitrah)
Disunatkan pada hari raya fitrah menikmati sedikit makanan sebelum keluar bagi menunaikan solat sunat hari raya fitrah. Anas r.a. juga menceritakan;
“Adalah Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada pagi hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan beberapa biji tamar. Baginda makan tamar-tamar itu dengan bilangan yang ganjil”. (Riwayat Imam Bukhari)

7. Keluar berjalan kaki dan melalui jalan berbeza ketika pulang
Disunatkan pergi ke tempat solat atau ke masjid dengan berjalan kaki dalam keadaan tenang. Apabila pulang, disunatkan melalui jalan yang lain dari jalan yang dilalui ketika pergi tadi. Ibnu ‘Umar r.a. menceritakan;
“Rasulullah s.a.w. keluar untuk menunaikan solat hari raya dengan berjalan kaki dan pulang dengan berjalan kaki”. (Riwayat Imam Ibnu Majah)

Imam Bukhari meriwayatkan dari Jabir r.a.;
“Adalah Nabi s.a.w. pada hari raya baginda melalui jalan yang berbeza (yakni ketika pergi melalui satu jalan dan ketika pulang melalui jalan yang lain)”.

8. Segera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya.
Disunatkan bersegera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya didirikan. Ibnu Umar r.a. menceritakan;
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menyuruh agar dikeluarkan zakat fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya untuk mengerjakan solat”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

9. Mengucapkan tahniah, menzahirkan kegembiraan dan bersalam-salaman
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;
“Tidak ada dua orang muslim yang berjumpa, lalu mereka berdua saling berjabat tangan melainkan akan diampunkan bagi kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah lagi”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Anas r.a.)

Tuesday, July 15, 2014

Menghidupkan 10 Malam Akhir Ramadhan

Daripada  Aisyah RA, katanya: “Kebiasaan Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh malam yang terakhir (malam yang kedua puluh satu hingga tiga puluh dari bulan Ramadan) baginda menghidupkan malam-malam tersebut, dan bersungguh dalam melakukan ibadat serta menjerut tali pinggangnya.”
Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian Hadis:

1. Hadis ini menunjukkan bahawa dituntut kita tidak melepaskan peluang untuk memperbanyak amal soleh apabila tibanya waktu atau hari-hari yang mempunyai kelebihan ganjaran di sisi Allah SWT.

2. Sunat menghidupkan malam Ramadan dengan melaksanakan sebanyak yang mampu dengan ibadah sunat disamping tidak meninggalkan ibadah wajib terutamanya sepuluh yang akhir kerana pada malam tersebut adanya Lailatulqadar.  .

3. Golongan yang pandai lagi cerdik akan mengejar untuk dapat segala ganjaran yang ditawarkan dengan mengembeling segala tenaga supaya memperolehi segala ganjaran itu. Ganjaran yang dijanji oleh Allah SWT dalam bulan Ramadhan ini amatlah besar yang tidak ada bandingan dengan dunia dan segala isinya iaitu kasih sayang dari Allah, pengampunan dan kebebasan dari azab api neraka.

Wednesday, July 9, 2014

Kewajipan Membayar Zakat

Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya: “Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa daripada perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain.”

(Riwayat  Abu Daud)

 Huraian Hadis:

1. Zakat fitrah adalah diwajibkan kepada semua orang-orang Islam yang hidup dalam bulan Ramadhan dan Syawal.

2. Zakat fitrah ialah zakat badan yang dikeluarkan untuk diberi kepada golongan tertentu bagi membersihkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia sepanjang bulan Ramadan.

3. Zakat yang diwajibkan ialah berupa makanan utama di sesebuah negeri seperti beras, gandum, jagung dan sebagainya.

4. Pembayaran fitrah boleh dengan menggunakan wang ringgit sebagai ganti beras fitrah dengan niat bertaklid kepada mazhab Hanafi, mengikut kadar nilai yang ditetapkan oleh pihak pemerintah.

5. Zakat fitrah boleh dibayar dari awal Ramadan sehingga akhirnya iaitu sebelum sembahyang hari raya. Maka bagi sesiapa yang membayarnya selepas sembahyang hari raya, baginya menjadi sedekah biasa sahaja.

Tuesday, July 1, 2014

Ganjaran Puasa Ramadan

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azzawajalla berkata: “Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku.  Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhan-Nya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.”(Riwayat Bukhari & Muslim)


Pengajaran Hadis:

1. Puasa merupakan perkara “dharuriah” dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa yang meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.

2. Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara yang telah dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar dalam berhadapan dengan sebarang godaan sepanjang Ramadan berlangsung.

3. Bulan Ramadan dikenali juga sebagai bulan prestasi, di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang-orang yang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah SWT.

4. Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadan dan diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal demikian disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW.

5. Ramadan adalah bulan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang dilakukan oleh para salafus-soleh. Dengan itu kita hendaklah benar-benar berusaha agar tidak ada waktu berlalu tanpa amal soleh sepanjang Ramadan ini kerana bulan Ramadan adalah bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah SWT.