Wednesday, July 9, 2014

Kewajipan Membayar Zakat

Daripada Ibnu Abbas r.a. katanya: “Rasulullah SAW telah menentukan wajibnya zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang mengerjakan puasa daripada perkataan yang sia-sia dan perkataan yang buruk, dan juga untuk menjadi makanan orang-orang miskin, oleh itu sesiapa yang menunaikannya sebelum sembahyang hari raya maka menjadilah ia zakat fitrah yang makbul, dan sesiapa yang menunaikannya sesudah sembahyang hari raya maka menjadilah ia sedekah biasa seperti sedekah sunat yang lain.”

(Riwayat  Abu Daud)

 Huraian Hadis:

1. Zakat fitrah adalah diwajibkan kepada semua orang-orang Islam yang hidup dalam bulan Ramadhan dan Syawal.

2. Zakat fitrah ialah zakat badan yang dikeluarkan untuk diberi kepada golongan tertentu bagi membersihkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia sepanjang bulan Ramadan.

3. Zakat yang diwajibkan ialah berupa makanan utama di sesebuah negeri seperti beras, gandum, jagung dan sebagainya.

4. Pembayaran fitrah boleh dengan menggunakan wang ringgit sebagai ganti beras fitrah dengan niat bertaklid kepada mazhab Hanafi, mengikut kadar nilai yang ditetapkan oleh pihak pemerintah.

5. Zakat fitrah boleh dibayar dari awal Ramadan sehingga akhirnya iaitu sebelum sembahyang hari raya. Maka bagi sesiapa yang membayarnya selepas sembahyang hari raya, baginya menjadi sedekah biasa sahaja.

0 comments:

Post a Comment