Seindah keluarga dalam Islam

Membina Keluarga Bahagia Dengan Mengamalkan Ilmu Dan Ajaran Islam.

Seindah Tazkirah

Peringatan Buat Diri Yang Lemah, Jadikan Hari Ini Lebih Baik Daripada Semalam.

Seindah Ibadah Untuk Diamalkan

Biarkan Ibadahmu Menjadi Rahsia Seperti Kamu Merahsiakan Dosa-Dosamu. .

Seindah Wanita Solehah

Dunia Adalah Perhiasan Dan Seindah-Indah Perhiasan Adalah Wanita Solehah.

Seindah Tentang Rasulullah SAW

Kekasih Hati Yang Dirindui.

Seindah Sumber Inspirasi Penentu Kejayaan

Kenali Insan Yang boleh Memberi Motivasi Untuk Kita Lebih Maju Dalam Kehidupan.

Wednesday, May 21, 2014

Istiqamah Dengan Islam

Daripada Abu Amru yang dikenali juga dengan Abu Amrah iaitu Sufian bin Abdullah as-Saqafi RA katanya, “Wahai Rasulullah katakanlah kepadaku mengenai Islam dengan jelas supaya aku tidak perlu lagi bertanya kepada seseorang selain daripada engkau.” Sabda Rasulullah, “Katakanlah, aku beriman kepada Allah kemudian berpegang teguhlah di atas jalan yang lurus.” (H.R. Muslim)


Huraian Hadis:

1. Istiqamah ialah memelihara batas-batas syarak dengan melakukan segala suruhan wajib dan mengambil berat suruhan sunat serta meninggalkan perkara-perkara yang haram dan berusaha supaya tidak melakukan perkara-perkara makruh. Saidina Umar al-Khatab RA berkata: Istiqamah itu ialah melakukan suruhan dan menjauhi larangan, dan tidak menyimpang ke sana dan ke sini seperti kelakuan seekor musang.

2. Dakwaan beriman semata-mata tidak memadai jika tidak dibuktikan dengan amalan yang betul mengikut syarak. Ini kerana amalan zahir baik atau buruk itu adalah terjemahan kepada iman yang tersemat di dalam jantung hati.

3. Orang-orang Mukmin wajiblah istiqamah mengerjakan ibadat fardu dan  mengambil berat ibadat sunat bukan dengan cara bermusim seumpama apabila datangnya bulan Ramadan, umat Islam berpusu-pusu ke masjid, apabila tiba  bulan Rabiulawal ramai yang mengamalkan sunnah Rasul namun apabila lenyapnya bulan-bulan ini kita kembali ke tabiat asal.

4. Iman adalah perkara asas di dalam Islam, oleh itu tingkatkanlah keimanan kerana dengan iman yang kuat akan mendorong seseorang untuk beristiqamah melakukan ibadah wajib dan sunat seikhlas-ikhlasnya dan melahirkan diri sebagai seorang hamba Allah.

Friday, May 16, 2014

Memelihara Ketenteraman Tetangga Tanda Kesempurnaan Iman

Daripada Abu Hurairah ra bahawasanya nabi S.A.W bersabda, “Demi Allah, tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman”, lalu ditanya, “Siapa (yang tidak sempurna imannya) wahai Rasulullah?”, jawab baginda, “Iaitu orang yang tidak memberi ketenteraman kepada jirannya dengan sebab kejahatan yang dilakukannya”. Riwayat:  Bukhari dan Muslim

Dalam riwayat Muslim “Tidak masuk syurga orang yang tidak mententeramkan jirannya dengan sebab kejahatannya”.


Huraian Hadith:

·         Islam melarang umatnya mengganggu ketenteraman jiran supaya tidak berlaku porak-peranda dan pecah belah sesama jiran.

·         Orang yang menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan jiran adalah dianggap oleh Rasulullah sebagai tidak sempurna imannya dan tidak berakhlak mulia.

·         Perkara-perkara yang boleh mengganggu jiran ialah seperti melakukan perkara yang menyebabkan bunyi bising hingga jiran tidak dapat rehat atau tidur dengan tenteram. Begitulah juga sekiranya kita melakukan ibadah seperti berzikir atau membaca al-Quran dengan suara yang kuat, memasang radio atau memasang ceramah agama hingga menggangu jiran, juga hukumnya haram.

·         Kita juga seharusnya menghormati hak jiran dalam  urusan membina atau menghiasi rumah supaya tidak menghalang  angin atau merosakkan halaman rumah jiran.    

·         Jiran yang dimaksudkan tidak terbatas kepada jiran kediaman semata-mata, malah merangkumi setiap kejiranan seperti kampung, daerah, negeri dan negara.

Thursday, May 8, 2014

Jangan Mendedahkan Aib Orang lain

Daripada Ibnu Umar ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Orang Islam itu adalah saudara kepada seorang Islam yang lain, tidak boleh dia menzaliminya atau membiarkannya dizalimi. Sesiapa yang memenuhi hajat saudaranya nescaya Allah akan memenuhi hajatnya dan sesiapa menolong seorang Islam lain untuk melepaskan daripada satu kesusahan nescaya Allah akan melepaskannya daripada kesusahan dan penderitaannya di hari kiamat. Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam nescaya Allah akan menutup keaibannya di hari kiamat”. Riwayat: Bukhari dan Muslim

Huraian Hadith: 
  1. Setiap orang Islam adalah bersaudara antara satu dengan yang lain.
  2. Setiap orang Islam berkewajipan menolong saudara seagamanya yang ditimpa kesusahan.
  3. Seorang Islam tidak boleh mendedahkan keburukan dirinya atau saudaranya kepada orang lain bahkan dia wajib merahsiakannya.
  4. Islam ialah agama yang mengutamakan persaudaraan, tolong-menolong dan lindung-melindungi daripada kemungkaran.
  5. Setiap orang Islam wajib memelihara segala tingkah laku supaya tidak menjatuhkan dirinya kepada keaiban atau kezaliman dirinya.

Saturday, May 3, 2014

Tinggal Perkara-Perkara Syubhat

Daripada Abu Abdullah al-Nu'man ibn Basyer r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perkara yang halal itu terang jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu terang jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat yang kesamaran yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang menjaga perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya. Dan barangsiapa yang terjatuh dalam perkara syubhat, maka dia telah jatuh dalam perkara haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkanNya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad.
Ketahuilah ia adalah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith:
1    1 1 Perkara Halal Jelas, Perkara Haram Jelas : Yang telah dinaskan seperti kahwin, makan benda-benda yang baik. manakala yang haram sprt. minum arak, judi, zina dan riba.

2    2 2 Perkara-perkara Syubhat : berlaku dalam ibadah, muamalat dan lainnya yang tidak jelas halal dan haram dan tidak ada nas padanya.

3    3 3 Bila berhadapan dengan syubhat : tinggalkan perkara-perkara tersebut untuk elakkan jatuh kepada dosa dan supaya dapat keredhaan Ilahi. Tinggal perkara-perkara syubhat menunjukkan seseorang itu bersifat dengan sifat wara’ dan kesempurnaan iman.