Friday, May 16, 2014

Memelihara Ketenteraman Tetangga Tanda Kesempurnaan Iman

Daripada Abu Hurairah ra bahawasanya nabi S.A.W bersabda, “Demi Allah, tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman, demi Allah tidak sempurna iman”, lalu ditanya, “Siapa (yang tidak sempurna imannya) wahai Rasulullah?”, jawab baginda, “Iaitu orang yang tidak memberi ketenteraman kepada jirannya dengan sebab kejahatan yang dilakukannya”. Riwayat:  Bukhari dan Muslim

Dalam riwayat Muslim “Tidak masuk syurga orang yang tidak mententeramkan jirannya dengan sebab kejahatannya”.


Huraian Hadith:

·         Islam melarang umatnya mengganggu ketenteraman jiran supaya tidak berlaku porak-peranda dan pecah belah sesama jiran.

·         Orang yang menimbulkan rasa tidak puas hati dan kemarahan jiran adalah dianggap oleh Rasulullah sebagai tidak sempurna imannya dan tidak berakhlak mulia.

·         Perkara-perkara yang boleh mengganggu jiran ialah seperti melakukan perkara yang menyebabkan bunyi bising hingga jiran tidak dapat rehat atau tidur dengan tenteram. Begitulah juga sekiranya kita melakukan ibadah seperti berzikir atau membaca al-Quran dengan suara yang kuat, memasang radio atau memasang ceramah agama hingga menggangu jiran, juga hukumnya haram.

·         Kita juga seharusnya menghormati hak jiran dalam  urusan membina atau menghiasi rumah supaya tidak menghalang  angin atau merosakkan halaman rumah jiran.    

·         Jiran yang dimaksudkan tidak terbatas kepada jiran kediaman semata-mata, malah merangkumi setiap kejiranan seperti kampung, daerah, negeri dan negara.

0 comments:

Post a Comment