Wednesday, May 21, 2014

Istiqamah Dengan Islam

Daripada Abu Amru yang dikenali juga dengan Abu Amrah iaitu Sufian bin Abdullah as-Saqafi RA katanya, “Wahai Rasulullah katakanlah kepadaku mengenai Islam dengan jelas supaya aku tidak perlu lagi bertanya kepada seseorang selain daripada engkau.” Sabda Rasulullah, “Katakanlah, aku beriman kepada Allah kemudian berpegang teguhlah di atas jalan yang lurus.” (H.R. Muslim)


Huraian Hadis:

1. Istiqamah ialah memelihara batas-batas syarak dengan melakukan segala suruhan wajib dan mengambil berat suruhan sunat serta meninggalkan perkara-perkara yang haram dan berusaha supaya tidak melakukan perkara-perkara makruh. Saidina Umar al-Khatab RA berkata: Istiqamah itu ialah melakukan suruhan dan menjauhi larangan, dan tidak menyimpang ke sana dan ke sini seperti kelakuan seekor musang.

2. Dakwaan beriman semata-mata tidak memadai jika tidak dibuktikan dengan amalan yang betul mengikut syarak. Ini kerana amalan zahir baik atau buruk itu adalah terjemahan kepada iman yang tersemat di dalam jantung hati.

3. Orang-orang Mukmin wajiblah istiqamah mengerjakan ibadat fardu dan  mengambil berat ibadat sunat bukan dengan cara bermusim seumpama apabila datangnya bulan Ramadan, umat Islam berpusu-pusu ke masjid, apabila tiba  bulan Rabiulawal ramai yang mengamalkan sunnah Rasul namun apabila lenyapnya bulan-bulan ini kita kembali ke tabiat asal.

4. Iman adalah perkara asas di dalam Islam, oleh itu tingkatkanlah keimanan kerana dengan iman yang kuat akan mendorong seseorang untuk beristiqamah melakukan ibadah wajib dan sunat seikhlas-ikhlasnya dan melahirkan diri sebagai seorang hamba Allah.

0 comments:

Post a Comment