Seindah keluarga dalam Islam

Membina Keluarga Bahagia Dengan Mengamalkan Ilmu Dan Ajaran Islam.

Seindah Tazkirah

Peringatan Buat Diri Yang Lemah, Jadikan Hari Ini Lebih Baik Daripada Semalam.

Seindah Ibadah Untuk Diamalkan

Biarkan Ibadahmu Menjadi Rahsia Seperti Kamu Merahsiakan Dosa-Dosamu. .

Seindah Wanita Solehah

Dunia Adalah Perhiasan Dan Seindah-Indah Perhiasan Adalah Wanita Solehah.

Seindah Tentang Rasulullah SAW

Kekasih Hati Yang Dirindui.

Seindah Sumber Inspirasi Penentu Kejayaan

Kenali Insan Yang boleh Memberi Motivasi Untuk Kita Lebih Maju Dalam Kehidupan.

Saturday, December 7, 2013

Dr. Maurice Bucaille

Kenapa Dr. Maurice Bucaille Memeluk Islam Selepas Bedah Mumia Firaun? Presiden Perancis menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal pada tahun 1976. Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya. Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian. Ini termasuklah apabila Presiden Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka. Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi. Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat. Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu. Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet. Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille.

Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut? Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya. Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis. KISAH FIRAUN DI DALAM AL QURAN. mumia ramses Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru. “Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!” Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan. Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya. Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu. “Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian. Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun. Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)

Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu. Ini menjadikan beliau semakin kebingungan. Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka. Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri: “Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami.” (Yunus: 92) Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi. Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.” Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.

Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge. Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya. “Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran. “Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya. Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah!

Monday, December 2, 2013

Panduan Puasa Sihat

Amalan berpuasa merupakan kewajipan bagi setiap muslim. Ketahuilah ibadah yang dilakukan setiap tahun ini mempunyai banyak manfaatnya dari segi kesihatan. Namun, nilai baik yang diperolehi daripada berpuasa ini hanya boleh didapati sekiranya ia dilakukan dengan aturan yang benar. Ikuti panduan puasa yang sihat.

1. Jangan lupa bersahur
Sahur merupakan salah satu rangkaian dalam ibadah puasa Ramadhan yang disarankan. Sanda Rasulullah s.a.w, dalam sebuah hadis "Sahurlah kamu, kerana dalam sahur itu terdapat berakah yang besar." Kenapa sahur amat penting bagi kita yang menjalani ibadah ini?

ini kerana, ketika menjalani ibadah puasa, tubuh kita tidak mendapat sumber gizi dan tenaga yang mencukupi. Untuk menu sahur, sebaik-baiknya, pilihlah makanan yang kaya dengan serat dan protein. Cuba hindari makanan yang manis.

Ini kerana, makanan yang manis yang dimakan ketika bersahur akan membuat anda cepat lapar di waktu siang. Makanan manis membuat tubuh bereaksi melepaskan insulin secara cepat. Insulin ini berfungsi memasukkan gula dari dalam darah ke dalam sel-sel tubuh dan digunakan sebagai sumber tenaga.

Sedangkan, makan makanan yang berserat membuat proses pencernaan menjadi lebih lambat dan membantu insulin dikeluarkan secara bertahap. Untuk membuat tenaga daripada bersahur tadi tahan lebih lama, sahurlah ketika mendekati imsak.

2. Segerakan berbuka
Berbicara soal puasa, ramai yang lebih senang mengingati waktu berbuka puasa. Setalah menahan diri dari lapar dan dahaga, sebaik-baiknya berbukalah dengan makanan yang mengandungi karbohidrat dalam kadar sederhana. Cuba cari makanan yang mengandungi karbohidrat sederhana ini di dalam makanan manis.

Makanan yang mengandungi gula mengembalikan tenaga secara segera setelah kebanyakan tenaga yang ada habis digunakan seharian. Usahakan menghidari minuman ais atau yang bersoda kerana minuman sebegin membuatkan pencernaan tidak berfungsi secara normal.

3. Makan secara bertahap
Walaupun sudah tiba waktu berbuka, tidak bermakna anda boleh makan bermacam-macam makanan sekali gus. Elakkan cara begini kerana seharian perut kita berehat dan tidak melakukan sebarang kerja mencerna makanan.

Sebaik-baiknya, jangan terus makan bermacam-macam makanan dan keterlaluan, bimbang nanti memberi kesan buruk pada kesihatan anda. Berbuka dengan sedikit makanan manis seperti buah kurma atau air teh panas dan berehat seketika.

Lakukan solat Maghrib terlebih dahulu sambil memberi waktu kepada organ pencernaan kita menyesuaikan dengan tugas mencerna yang perlu dimulakan. Kemudian, barulah kita kembali makan makanan yang berat seperti nasi dan lauk-pauk. Jangan lupa solat terawih pula dan jika terasa mahu makan, ambil makanan yang ringan seperti bubur, buah-buahan dan sebagainya.

4. Lakukan senaman
Berpuasa tidak bermakna anda tidak lagi perlu meneruskan rutin berolahraga. Ini kerana, aktiviti fizikal tetap diperlukan untuk memelihara kelancaran peredaran darah. Jadi untuk kekal sihat dan cergas seperti biasa, jangan tinggalkan rutin ini. Pilih aktiviti olahraga yang sesuai dengan keadaan anda yang sedang berpuasa.

Anda boleh cuba lakukan olahraga bila hampir waktu berbuka. Tidak perlu aktiviti yang berat sekadar berjalan laju pun sudah mencukupi. Di malam hari, amalan solat terawih selain sebagai ibadah, ia juga sebagai saranan memelihara kesegaran jasmani sambil membantu membakar kalori anda.

5. Minum air mencukupi
Air merupakan zat yang sangat diperlukan oleh tubuh badan. Lebih daripada 60 peratus daripada tubuh kita terdiri daripada air. Untuk menjalankan fungsi yang baik, setiap organ tubuh kita memerlukan air.

Tanpa air yang cukup, tubuh akan mengalami gangguan. Untuk itu, perbanyakan minum air untuk simpanan dalam tubuh supaya kesemua organ di dalam tubuh dapat berfungsi dengan baik. Air yang diminum bukan sahaja air putih yang sememangnya disarankan, tetapi juga boleh merangkumi air susu bagi memenuhi keperluan kalsium anda, atau air teh, mengikut kesukaan anda. Apa yang perlu anda ingat, minum banyak air, terutama sekali air putih.

6. Kendalikan emosi
Rasulullah s.a.w bersabda bahawasanya puasa itu bukan hanya bertujuan untuk menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan nafsu. Dengan kata lain, tujuan puasa adalah mengendalikan emosi, belajar bersabar dan dalam masa yang sama, berupaya mendekatkan diri kepada Tuhan.

Secara psikologinya, berpuasa mempengaruhi mental dan spiritual kita. Dengan mengendalikan emosi, membuatkan jiwa kita berkembang dengan lebih sihat, merasa dekat dengan Allah sekali gus membuat hati kita damai.

Sunday, December 1, 2013

Zakat Dan Perhiasan

Wanita dan emas sememangnya cukup intim. Bagai tidak sah apabila seseorang wanita tidak menyukai barang kemas atau perhiasan. Pendek kata, tidak lengkap penampilan mereka jika tidak diserikan dengan sebentuk cincin, seutas rantai mahupun sepasang subang.

Sejarah membuktikan bahawa emas dan perak merupakan logam galian yang berharga kurniaan Allah S.W.T. Emas dan perak telah dijadikan sebagai perhiasan malah sebagai nilai tukaran wang sehingga ke hari ini. Ketadangan Islam menetapkan bahawa lelaki tidak dibenarkan memakai emas menyebabkan kegunaannya lebih cenderung untuk wanita dan kekal ke hari ini.

Namu masih ramai golongan wanita yang tidak tahu atau mengambil endah akan perlunya membayar zakat emas dan perak. Syariat mewajibkan kedua-duanya, baik emas dan perak dalam bentuk wang atau leburan logam mahupun dalam bentuk yang lain seperti jokong, mata wang, perkakas atau perhiasan wanita. Wajibnya membayar zakat ini dijelaskan dalam Al-Quran dan perhiasan orang-orang yang enggan membayar zakat sesungguhnya amatlah pedih.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah SWT, maka khabarkan pada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas dan perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka), Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab) daripada apa yang kamu simpan itu." (Surah At-Taubah ayat 34-35)

Berdasarkan ayat di atas jelaslah bahawa jika kita tidak membayar zakat ke atas emas perhiasan setelah cukup syaratnya, pemilik harta tersebut akan disoal di akhirat kelak. Oleh yang demikian berhati-hatilah dan seeloknya kita bersederhana. Zakat itu rukun ketiga Islam. Zakat bukan hanya untuk kaum Adam tetapi juga golongan Hawa jika cukup syarat-syaratnya.

Menghadirkan Niat Dalam Solat

Niat merupakan asas kepada setiap amal yang dilakukan. Niat juga membezakan antara sesuatu perbuatan dengan perbuatan yang lain sama ada perbuatan tersebut wajib ataupun sunat. Sebagai contoh dalam solat, niat membezakan antara solat fardu dan solat sunat. Niat juga membezakan antara solat fardu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.

Hal ini kerana setiap amal yang dilakukan adalah dikira berdasarkan niat si pelaku tersebut. Seperti sabda Rasulullah s.a.w, "Sesungguhnya setiap amal perbuatan adalah berdasarkan niat dan sesungguhnya balasan bagi setiap amal berdasarkan apa yang diniatkan" (Riwayat Bukhari).

Takrif niat ialah Qasad melakukan sesuatu dengan perbuatan." Menurut Imam Ibnu Qayyim niat ertinya sengaja dan bersungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu. Tempatnya adalah dalam hati dan bukannya lisan.

Timbul persoalan dalam kalangan masyarakat, jika niat itu letaknya dalam hati bagaimana pula kedudukan niat bagi seseorang yang melafazkan niat seperti yang diamalkan oleh kebanyakan golongan masyarakat pada masa ini?

Lafaz niat adalah sunat
Manurut pendapatan mazhab Syafi'i, hukum melafazkan niat sebelum solat adalah sunat. Imam Ramli dalam kitab Nihayatul Muhta juga menyatakan bahawa melafazkan niat sebelum solat adalah sunat. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitab Tufah menyatakan lafaz niat ini diqiyaskan dalam lafaz niat haji.

Sayidina Umar r.a., beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda di Wadi Aqiq, "Datang malam tadi pesuruh daripada Tuhanku, dia memerintahkan supaya kita solat di lembah yang diberi keberkatan ini dan ucapkanlah 'Ini Umrah dalam Haji.' (Riwayat Bukhari).

Daripada Anas bin Malik, beliau berkata, "Aku mendengar Rasulullah s.a.w mengucapkan: Labbaika, sengaja aku mengerjakan umrah dan Haji." (Riwayat Muslim).

Menurut Imam Nawawi harus niat sebelum sedikit daripada mengangkat takbir bagi mereka yang ada penyakit was-was tidak bagi bagi yang lain. Lafaz niat sebelum solat ini adalah bagi membantu menghadirkan niat dalam hati untuk menunaikan solat.

Namun begitu, harus diingatkan bahawa lafaz tersebut tidak boleh dilakukan dengan begitu kuat kerana dikhuatiri akan menganggu orang yang bersolat bersebelahan dengan kita. Sekiranya perkara sebegini berlaku, perbuatan itu adalah bersalahan dengan sunnah Baginda s.a.w. Memadai sahaja lafaz tersebut hanya didengari oleh telinga kita sahaja bagi membantu untuk menghadirkan niat. Bagi yang mampu menghadirkan niat tanpa lafaz terlebih dahulu, memadailah baginya untuk terus melintaskan niat tanpa melafazkannya terlebih dahulu kerana hal itu adalah seperti yang diamalkan oleh Baginda s.a.w.

Tidak dinafikan ada yang berpendapat bahawa lafaz niat sebelum solat ini sebagai perkara yang diadakan (bidaah), namun begitu pada kami pendapat itu perlu diharmonikan dengan menyemai sikap berlapang dada. Masing-masing mempunyai hujah untuk beramal dengan pendapat masing-masing berdasarkan pendapat ulama muktabar.

Tiga rukun niat
Terdapat tiga rukun niat dalam menunaikan solat. Pertamanya qasad, keduanya ta'arudh dan ketiganya ta'yin. Qasad adalah menyengajakan hati untuk solat. Sebagai contoh dihadirkan dalam hati 'Sahaja aku solat.' Ta'arudh adalah menyatakan fardu. Ta'arudh membezakan antara solat fardu dengan solat sunat. Manakala Ta'yin adalah menentukan solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Sebagai contoh, seseorang yang akan menunaikan solat fardu Zohor. Beliau perlu menghadirkan niat dalam hati dengan lintasan: "Sahaja aku solat fardu Zohor". Niat tersebut sudah memadai sebagai syarat sah solat tersebut.

Menurut Sheikh Daud al-Fathoni dalam Furu' al-Masail, walaupun tidak menyebut bilangan rakaat namun niat itu adalah sah dan sudah memenuhi tuntutan sunat muakkad. Tetapi hukum melintaskan solat fardu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak adalah wajib menurut kaul (pendapat) yang muktamad.

Namun begitu, bagi mencari kesempurnaan dalam solat alangkah elok sekiranya niat yang hadir dalam hati itu lebih sempurna seperti berikut:

1. Niat solat fardu Zohor
Sahaja aku sembahyang fardu Zohor emapat rakaat tunai kerana Allah ta'ala.

2. Niat solat fardu Asar
Sahaja aku sembahyang fardu Asar empat rakaat tunai kerana Allah ta'ala.

3. Niat solat fardu Maghrib
Sahaja aku sembahyang fardu Maghrib tiga rakaat tunai kerana Allah ta'ala.

4. Niat solat fardu Isyak
Sahaja aku sembahyang fardu Isyak empat rakaat tunai kerana Allah ta'ala.

5. Niat solat fardu Subuh
Sahaja aku sembahyang fardu Subuh dua rakaat tunai kerana Allah ta'ala.

6. Niat solat fardu Jumaat
Sahaja aku sembahyang fardu Jumaat dua rakaat mengikut imam kerana Allah ta'ala.