Tuesday, July 22, 2014

Cara Menyambut Hari Raya Aidil Fitri

1. Menyambut hari raya dengan laungan takbir dan memuji Allah
Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud;
“Kamu hiasilah dua hari raya dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis”. (Riwayat Abu Na’im dari Anas r.a.).

2. Mandi sunat
Disunatkan mandi hari raya sekalipun tidak berhasrat untuk menghadiri majlis solat hari raya kerana hari raya adalah yaum az-zinah iaitu hari perhiasan. Sunat mandi ini adalah berdasarkan amalan sahabat di mana Imam Malik meriwayatkan dari Nafi’ menceritakan yang bermaksud;
“Sesungguhnya Ibnu Umar r.a. mandi pada hari raya fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya”. (Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’)

3. Berwangi-wangian dan dan memakai pakaian baru.
Berdalilkan hadis dari Hasan bin Ali r.a, cucu Rasulullah yang menceritakan;
“Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami pada dua hari raya supaya memakai pakaian sehabis elok yang kami perolehi, berwangi dengan wangian paling harum yang kami perolehi dan supaya kami menyembelih korban dengan binatang paling gemuk yang kami miliki”. (Riwayat Imam al-Hakim dan at-Thabrani).

4. Beramai-ramai menghadiri tempat solat hari raya
Disunatkan pada hari raya umat Islam keluar beramai-ramai ke tempat solat hari raya termasuk kaum wanita. Ummu ‘Athiyyah r.a. menceritakan;
“Kami (para wanita di zaman Nabi s.a.w.) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar di mana mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya” (Riwayat Imam Bukhari).

5. Keluar awal ke tempat solat (kecuali imam)
Disunatkan hadir awal pagi selepas subuh kecuali imam di mana ia disunatkan hadir pada waktu solat hari raya hendak dilaksanakan. Imam sunat melewatkan sedikit hadir supaya dapat memberi lebih masa kepada kaum muslimin untuk membayar zakat fitrah (kerana zakat fitrah afdhal dikeluarkan sebelum solat hari raya).

6. Menikmati juadah sebelum keluar (khusus bagi hari raya fitrah)
Disunatkan pada hari raya fitrah menikmati sedikit makanan sebelum keluar bagi menunaikan solat sunat hari raya fitrah. Anas r.a. juga menceritakan;
“Adalah Rasulullah s.a.w. tidak keluar pada pagi hari raya fitrah melainkan setelah baginda makan beberapa biji tamar. Baginda makan tamar-tamar itu dengan bilangan yang ganjil”. (Riwayat Imam Bukhari)

7. Keluar berjalan kaki dan melalui jalan berbeza ketika pulang
Disunatkan pergi ke tempat solat atau ke masjid dengan berjalan kaki dalam keadaan tenang. Apabila pulang, disunatkan melalui jalan yang lain dari jalan yang dilalui ketika pergi tadi. Ibnu ‘Umar r.a. menceritakan;
“Rasulullah s.a.w. keluar untuk menunaikan solat hari raya dengan berjalan kaki dan pulang dengan berjalan kaki”. (Riwayat Imam Ibnu Majah)

Imam Bukhari meriwayatkan dari Jabir r.a.;
“Adalah Nabi s.a.w. pada hari raya baginda melalui jalan yang berbeza (yakni ketika pergi melalui satu jalan dan ketika pulang melalui jalan yang lain)”.

8. Segera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya.
Disunatkan bersegera mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat hari raya didirikan. Ibnu Umar r.a. menceritakan;
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. menyuruh agar dikeluarkan zakat fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya untuk mengerjakan solat”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)

9. Mengucapkan tahniah, menzahirkan kegembiraan dan bersalam-salaman
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;
“Tidak ada dua orang muslim yang berjumpa, lalu mereka berdua saling berjabat tangan melainkan akan diampunkan bagi kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah lagi”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Anas r.a.)

0 comments:

Post a Comment