Seindah keluarga dalam Islam

Membina Keluarga Bahagia Dengan Mengamalkan Ilmu Dan Ajaran Islam.

Seindah Tazkirah

Peringatan Buat Diri Yang Lemah, Jadikan Hari Ini Lebih Baik Daripada Semalam.

Seindah Ibadah Untuk Diamalkan

Biarkan Ibadahmu Menjadi Rahsia Seperti Kamu Merahsiakan Dosa-Dosamu. .

Seindah Wanita Solehah

Dunia Adalah Perhiasan Dan Seindah-Indah Perhiasan Adalah Wanita Solehah.

Seindah Tentang Rasulullah SAW

Kekasih Hati Yang Dirindui.

Seindah Sumber Inspirasi Penentu Kejayaan

Kenali Insan Yang boleh Memberi Motivasi Untuk Kita Lebih Maju Dalam Kehidupan.

Wednesday, August 27, 2014

Hikmah Sakratul Maut

Dari Aisyah r.a katanya: "Aku melihat Nabi S.A.W semasa Baginda hampir wafat dan disisinya sebuah bejana berisi air, dan Baginda memasukkan tangannya ke dalam bejana itu lalu menyapu mukanya, sesudah itu Baginda berdoa: "Ya Tuhanku! Berilah aku pertolongan terhadap penderitaan-penderitaan maut atau sakratul maut (yang sedang aku hadapi)". Riwayat Aisyah r.a


Huraian hadith:

1) Sakratul Maut adalah suatu penderitaan yang dialami oleh roh dan jasad dengan keadaan yang tertentu pada masa roh hendak meninggalkan jasad seseorang.

2) Ia (sakratul maut) akan tetap ditempuh oleh setiap manusia dengan berbagai-bagai cara sama ada dengan cara yang berat dan sukar atau yang mudah dan senang.

3) Menurut huraian para ulama', Allah S.W.T menjadikan nabi-nabi dan wali-wali-Nya menderita sukar menghadapi sakratul maut hanyalah untuk menambahkan ketinggian darjat mereka sedangkan bagi orang-orang Islam yang lain mengalami kesukaran sakratul maut adalah sebagai kaffarah (penghapus dosa) daripada kesalahan-kesalahan yang mereka lakukan.

4) Berdasarkan hadith ini suatu kesimpulan dapat dibuat bahawa anggapan tentang beratnya ˜sakratul maut' itu menandakan kemurkaan Tuhan dan ringannya pula menandakan keredaan Tuhan adalah tidak benar. Malah ia sebenarnya bergantung pada kedudukan seseorang itu di sisi Allah S.W.T, bukan berdasarkan penilaian mata kasar dan mata hati manusia semata-mata.

Monday, August 18, 2014

Tiga Buah Masjid Yang Dituntut Beribadat Di Dalamnya

Dari Abu Hurairah, r.a. dari Nabi S.A.W. sabdanya: Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut): Masjidil Haram (di Mekah), dan masjid Rasulullah S.A.W. (di Madinah) serta Masjid al-Aqsa (di Palestin)(H.R Bukhari)

Huraian Hadith:

1. Umat Islam dituntut berziarah untuk menunaikan ibadah (pengabdian kepada Tuhan) ke tempat berikut:

i. Masjidil Haram di Mekah
ii. Masjid Nabi di Madinah
iii. Masjidil al-Aqsa di Palestin.

melebihi daripada tempat-tempat lain di dunia ini kerana beribadah di ketiga-tiga tempat ini telah dijanjikan ganjaran pahala yang besar.

2. Diantara fadhilat-fadhilatnya ialah:

i. Kelebihan Masjidil haram ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat seratus ribu (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain dan di dalamnya terletak Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam.

ii. Kelebihan Masjid Nabawi pula ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat seribu (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain, dan di dalamnya ada makam Nabi S.A.W dan sebagai sebuah taman dari taman-taman syurga.

iii. Kelebihan Masjid al-Aqsa pula ialah mereka yang bersembahyang di dalamnya akan mendapat lima ratus (lebih afdhal dari) sembahyang di tempat lain, dan keistimewaannya ialah ia adalah merupakan masjid para Nabi yang terdahulu dan tempat Israk dan Mikrajnya Nabi S.A.W.

Thursday, August 7, 2014

Sunat Berpuasa Enam Hari Di Bulan Syawal

Daripada Abu Ayub RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian mengiringinya dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun”.   (Riwayat Muslim)

Huraian Hadis:

1. Islam menganjurkan umatnya supaya melakukan kebaikan dan kebajikan secara berterusan, walaupun sedikit.

2. Orang yang berpuasa Ramadan diikuti dengan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal maka pahalanya sama dengan berpuasa setahun. Hal ini disebabkan puasa sunat satu hari bersamaan pahalanya dengan sepuluh hari. Manakala puasa Ramadan bersamaan dengan sepuluh bulan, maka enam hari puasa sunat bersamaan dengan dua bulan, kemudian dicampurkan dengan sepuluh bulan jumlahnya menjadi setahun.

3. Seseorang yang hendak berpuasa sunat di bulan Syawal adalah lebih afdal berturutan seperti puasa bulan Ramadan, tetapi dibolehkan berpuasa secara berselang hari selama dalam tempoh bulan Syawal.