Sunday, December 1, 2013

Menghadirkan Niat Dalam Solat

Niat merupakan asas kepada setiap amal yang dilakukan. Niat juga membezakan antara sesuatu perbuatan dengan perbuatan yang lain sama ada perbuatan tersebut wajib ataupun sunat. Sebagai contoh dalam solat, niat membezakan antara solat fardu dan solat sunat. Niat juga membezakan antara solat fardu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.

Hal ini kerana setiap amal yang dilakukan adalah dikira berdasarkan niat si pelaku tersebut. Seperti sabda Rasulullah s.a.w, "Sesungguhnya setiap amal perbuatan adalah berdasarkan niat dan sesungguhnya balasan bagi setiap amal berdasarkan apa yang diniatkan" (Riwayat Bukhari).

Takrif niat ialah Qasad melakukan sesuatu dengan perbuatan." Menurut Imam Ibnu Qayyim niat ertinya sengaja dan bersungguh-sungguh untuk melakukan sesuatu. Tempatnya adalah dalam hati dan bukannya lisan.

Timbul persoalan dalam kalangan masyarakat, jika niat itu letaknya dalam hati bagaimana pula kedudukan niat bagi seseorang yang melafazkan niat seperti yang diamalkan oleh kebanyakan golongan masyarakat pada masa ini?

Lafaz niat adalah sunat
Manurut pendapatan mazhab Syafi'i, hukum melafazkan niat sebelum solat adalah sunat. Imam Ramli dalam kitab Nihayatul Muhta juga menyatakan bahawa melafazkan niat sebelum solat adalah sunat. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitab Tufah menyatakan lafaz niat ini diqiyaskan dalam lafaz niat haji.

Sayidina Umar r.a., beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda di Wadi Aqiq, "Datang malam tadi pesuruh daripada Tuhanku, dia memerintahkan supaya kita solat di lembah yang diberi keberkatan ini dan ucapkanlah 'Ini Umrah dalam Haji.' (Riwayat Bukhari).

Daripada Anas bin Malik, beliau berkata, "Aku mendengar Rasulullah s.a.w mengucapkan: Labbaika, sengaja aku mengerjakan umrah dan Haji." (Riwayat Muslim).

Menurut Imam Nawawi harus niat sebelum sedikit daripada mengangkat takbir bagi mereka yang ada penyakit was-was tidak bagi bagi yang lain. Lafaz niat sebelum solat ini adalah bagi membantu menghadirkan niat dalam hati untuk menunaikan solat.

Namun begitu, harus diingatkan bahawa lafaz tersebut tidak boleh dilakukan dengan begitu kuat kerana dikhuatiri akan menganggu orang yang bersolat bersebelahan dengan kita. Sekiranya perkara sebegini berlaku, perbuatan itu adalah bersalahan dengan sunnah Baginda s.a.w. Memadai sahaja lafaz tersebut hanya didengari oleh telinga kita sahaja bagi membantu untuk menghadirkan niat. Bagi yang mampu menghadirkan niat tanpa lafaz terlebih dahulu, memadailah baginya untuk terus melintaskan niat tanpa melafazkannya terlebih dahulu kerana hal itu adalah seperti yang diamalkan oleh Baginda s.a.w.

Tidak dinafikan ada yang berpendapat bahawa lafaz niat sebelum solat ini sebagai perkara yang diadakan (bidaah), namun begitu pada kami pendapat itu perlu diharmonikan dengan menyemai sikap berlapang dada. Masing-masing mempunyai hujah untuk beramal dengan pendapat masing-masing berdasarkan pendapat ulama muktabar.

Tiga rukun niat
Terdapat tiga rukun niat dalam menunaikan solat. Pertamanya qasad, keduanya ta'arudh dan ketiganya ta'yin. Qasad adalah menyengajakan hati untuk solat. Sebagai contoh dihadirkan dalam hati 'Sahaja aku solat.' Ta'arudh adalah menyatakan fardu. Ta'arudh membezakan antara solat fardu dengan solat sunat. Manakala Ta'yin adalah menentukan solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Sebagai contoh, seseorang yang akan menunaikan solat fardu Zohor. Beliau perlu menghadirkan niat dalam hati dengan lintasan: "Sahaja aku solat fardu Zohor". Niat tersebut sudah memadai sebagai syarat sah solat tersebut.

Menurut Sheikh Daud al-Fathoni dalam Furu' al-Masail, walaupun tidak menyebut bilangan rakaat namun niat itu adalah sah dan sudah memenuhi tuntutan sunat muakkad. Tetapi hukum melintaskan solat fardu Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak adalah wajib menurut kaul (pendapat) yang muktamad.

Namun begitu, bagi mencari kesempurnaan dalam solat alangkah elok sekiranya niat yang hadir dalam hati itu lebih sempurna seperti berikut:

1. Niat solat fardu Zohor
Sahaja aku sembahyang fardu Zohor emapat rakaat tunai kerana Allah ta'ala.

2. Niat solat fardu Asar
Sahaja aku sembahyang fardu Asar empat rakaat tunai kerana Allah ta'ala.

3. Niat solat fardu Maghrib
Sahaja aku sembahyang fardu Maghrib tiga rakaat tunai kerana Allah ta'ala.

4. Niat solat fardu Isyak
Sahaja aku sembahyang fardu Isyak empat rakaat tunai kerana Allah ta'ala.

5. Niat solat fardu Subuh
Sahaja aku sembahyang fardu Subuh dua rakaat tunai kerana Allah ta'ala.

6. Niat solat fardu Jumaat
Sahaja aku sembahyang fardu Jumaat dua rakaat mengikut imam kerana Allah ta'ala.

0 comments:

Post a Comment