Tuesday, June 10, 2014

Halal Dan Haram Adalah Jelas


Dari Abi 'Abdillah Annu'man bin Basyir r.a. telah berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W. telah bersabda:" Sesungguhnya sesuatu yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan diantara keduanya ada perkara yang samar-samar yang kebanyakan manusia tidak mengetahui. Maka barangsiapa menjaga dirinya dari barang-barang (perkara) yang samar itu, maka ia telah membersihkan agamanya dan kehormatannya, dan barangsiapa yang jatuh dalam melakukan perkara yang samar-samar itu, maka ia telah jatuh dalam perkara haram seperti pengembala di sekeliling tanah larangan (halaman orang), lambat-laun ia akan masuk ke dalamnya. Ingatlah bahawa tiap-tiap raja ada larangannya. Ingatlah bahawa larangan Allah adalah apa-apa yang diharamkanNya. Ingatlah bahawa dalam jasad itu ada seketul daging, jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya, dan jika ia rusak, rusaklah jasad seluruhnya. Ingatlah, itu adalah hati." (Imam Bukhari dan Muslim)

1. Halal boleh didefinisikan sebagai perkara yang diperbolehkan, atau mubah, yang telah gugur daripadanya ikatan atau simpulan bahaya, dan syariat membenarkan perbuatannya. Berdasarkan pandangan ilmu usul al-Fiqh, halal juga disebut sebagai mubah, ibahah dan jaiz iaitu perkara yang diberi pahala apabila melakukannya dan tidak ada apa-apa dosa jika meninggalkannya.

2. Haram boleh didefinisikan sebagai sesuatu perkara yang dilarang oleh syariat melakukannya dengan larangan yang pasti, yakni tidak boleh berubah, sehingga mendedahkan sesiapa yang melanggar larangan itu kepada siksa Allah S.W.T. di hari akhirat, dan ada kalanya boleh menyebabkan dia menerima siksa yang ditetapkan oleh syariat ketika di dunia juga.

3. Hendaklah difahami bahawa barang yang haram itu bukanlah semata-mata terletak kepada makanan mahupun minuman semata-mata bahkan jua kepada semua aspek kehidupan. Sebagai contoh, zina itu adalah haram dan jijik di sisi Islam. Menfitnah atau mengumpat juga merupakan satu perbuatan yang haram.

 4. Hendaklah diingatkan bahawa, mereka yang wara' itu akan meninggalkan perkara yang padanya mempunyai sifat syubhah kerana mereka risau akan jatuh ke dalam lembah yang haram sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis diatas.

0 comments:

Post a Comment