Saturday, November 30, 2013

Bina Keluarga Bahagia Dari Perkahwinan Mengikut Syarak

Perkahwinan merupakan kemuncak sebuah percintaan. Namun, bak kata pepatah, perkahwinan juga umpama satu perjudian hidup. Pasangan suami isteri pastinya takkan terlepas daripada pelbagai masalah. Ibarat gigi dengan lidah, sesekali pasti tergigit juga. Apatah lagi sekiranya pasangan itu masih muda, sudah pasti lebih berat dugaan yang terpaksa didepani mereka.

Sememangnya ramai pasangan berkahwin akhirnya terpaksa mengambil jalan berpisah lantaran gagal mengemudi bahtera bersama. Jika dahulu, fenomena ini jarang sekali berlaku, namun hari ini, ia bagai sudah menjadi satu budaya dalam masyarakat moden kita.

Sesungguhnya ikatan perkahwinan amat digalakkan oleh Islam dalam menyempurnakan keperluan tabii manusia yang dilahirkan untuk hidup berpasangan. Malah, hidup berkeluarga menjadi antara sunnah Rasulullah s.a.w sehingga di dalam hadis baginda ada menyebut: "Apabila seseorang itu berkahwin maka ia telah menyempurnakan sebahagian agamanya dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah untuk memenuhi kekosongan yang sebahagian lagi."

Untuk menjamin kelahiran sebuah keluarga yang harmoni, pembinaan sebuah keluarga mesti dibina berlandaskan asas yang betul dan tepat bermula daripada objektif dan seterusnya langkah-langkah pembinaan tunggak binaannya. Islam telah menetapkan beberapa objektif sesebuah perkahwinan sebagai langkah awal pembinaan sesebuah keluarga yang harmoni. Di antaranya untuk meneruskan kesinambungan zuriat manusia, menjaga kehormatan diri dengan melampiaskan nafsu ke tempat yang halal dan mendapat ketenangan dalam kehidupan.

"Kamu dihalalkan bersetubuh dengan isteri kamu pada malam puasa. Mereka sebagai pakaian kamu dan kamu pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawa kamu mengkhianati diri kamu dan Allah menerima taubat dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu  dan carilah apa-apa yang ditetapkan oleh Allah bagi kamu. Makan dan minumlah sehingga nyata kepada kamu garis putih daripada garis hitam pada waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu hingga ke malam (maghrib). Janganlah kamu setubuhi mereka (isteri-isteri) ketika beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu hampir. Demikianlah Allah terangkan ayat-ayatnya (peraturan-peraturan) kepada manusia. Semoga mereka bertaqwa" (Al-Baqarah: 187).

Perkataan 'pakaian' dalam ayat di atas menggambarkan bentuk hubungan antara pasangan suami isteri. Sehelai pakaian mempunyai fungsi, antaranya menjadi penutup yang melindungi aib dibadan, aib dan kekurangan pasangannya, menjadi pelindung dari mara bahaya serta menjadi hiasan untuk hati pasangannya. Hasil dari itu lahirlah hubungan mesra yang diikat dengan tali kasih yang pasti sukar untuk dirungkai kembali.

Kebanyakkan masyarakat barat hari ini membina cinta mereka di atas dasar yang rapuh iaitu kepuasan nafsu. Malah, cinta itu tidak menghalang seseorang lelaki dan wanita melakukan hubungan jenis dengan lelaki atau wanita lain pada masa yang sama.

Lantaran itu, amat penting untuk membina mahligai yang harmoni mengikut ajaran serta panduan yang telah digariskan oleh Islam. Di mana Islam telah memberi petunjuk kepada umatnya demi berusaha memperbaiki kualiti hidup supaya manusia dapat mengecapi kesempurnaan.

0 comments:

Post a Comment