Thursday, November 21, 2013

Al-Quran Sebagai Panduan Hidup


 AL-QURAN telah diturunkan sebagai panduan dalam kehidupan manusia. Tetapi jika dilihat dimana-mana, Al-Quran hanya dijadikan sebagai alat memperdengarkan suara lunak segelintir manusia dengan melagukan bacaan dan sebagainya. Sebenarnya ia diturunkan untuk manusia supaya membaca, memahami dan mengamalkan apa yang telah diajarkan di dalamnya. Tidak salah mencintai Al-Quran melalui bacaan secara berlagu, memahami hukum dan tajwidnya.

Penerapan pemahaman, penghayatan dan beramal dengan ajaran isi kandungan al-Quran dengan ajaran isi kandungan Al-Quran adalah lebih penting dan utama dari melagukannya. Ketika kanak-kanak masih kecil, amat sesuai kaedah bacaan Al-Quran secara berlagu digunakan sebagai cara untuk menarik perhatian kanak-kanak supaya dekat dengan kitab suci ini.

Walaubagaimanapun, apabila mereka sudah meningkat remaja dan dewasa, pemahaman dan praktikal dari isi kandungan Al-Quran perlu diterapkan dalam jiwa mereka. Inilah kunci sebenar kepada kekusutan dan kekalutan manusia dalam mencari masalah-masalah duniawi.

Isu pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, sumbang mahram, zina, korupsi, pecah amanah dan pelbagai lagi masalah sosial yang melanda akhir-akhir ini sudah berada ditahap amat membimbangkan. Sebagaimana Firman Allah S.W.T dalam Al-Quran surah Maryam Ayat 59-60, "Kemudian sepeninggalan mereka, datang generasi yang mengabaikan kewajipan solat dan mengikuti hawa nafsu, mereka pasti akan menemui kebinasaan. Kecuali orang yang bertaubat, beriman dan beramal soleh, mereka akan masuk syurga dan sama sekali tidak teraniaya sedikitpun".

Dengan merujuk ayat di atas, ini adalah peringatan Allah kepada manusia terutama umat Islam supaya bersedia dengan kedatangan waktu tersebut dengan menanamkan di dalam jiwa anak-anak dengan pendidikan Islam yang sejati dan sentiasa memohon perlindungan Allah.

Sebaliknya apa yang berlaku, dikalangan umat Islam sendiri, mereka sering bertelagah, malah hingga ke peringkat mereka yang boleh digelar Ustaz atau Ulama. Mereka yang blebih sibuk mencari harta dunia dari memperingatkan manusia tentang kedatangan hari pembalasan.

Paling menyedihkan, terdapat segelintir manusia dari golongan atau badan agama yang menyalahgunakan kuasa, tidak amanah, dan mengambil kesempatan atas tiket "agama" untuk melempaskan nafsu serakah mereka.

Jika golongan yang dipandang mulia oleh masyarakat sudah pincang dan lemah serta bersifat tamak, bagaimana untuk masyarakat yang daif dari segi hukum agama boleh menjadikan golongan ini sebagai tempat pakar rujuk mereka untuk kembali ke jalan kebenaran?

Kita tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini. Apa yang paling penting adalah merenung kembali kesilapan kita, memikirkan cara penyelesaian dan segera bertindak.

0 comments:

Post a Comment