Wednesday, October 30, 2019

Definisi Al-Quran Dari Sudut Istilah


Para ulama memberikan beberapa pandangan mengenai takrifan al-Quran. Antaranya ialah:
"Ia merupakan kalam Allah سبحانه وتعالى yang diturunkan ke atas nabi Muhammad . Lafaznya adalah mukjizat, mendapat ganjaran apabila membacanya, ditulis di dalam kitab-kitab (mashaf-mashaf), diriwayatkan secara bersambung sanadnya (mutawatir)."
1. Kalam
Satu kata nama yang meliputi seluruh perkataan, dan disandarkan khusus kepada Allah ta'ala. Maksudnya, ia tidak termaksud untuk perkataan-perkataan yang disandarkan kepada selain Allah.

2. Al-Munazzal
Bermaksud al-Quran yang diturunkan adalah secara khusus ke atas Nabi Muhammad ﷺ sahaja. Manakala kitab-kitab agama yang lain seperti Taurat, Zabur dan Injil tidak termasuk di dalam takrifan perkataan ini.

3. Al-Mukjiz bi Lafzihi

Bermaksud lafaz-lafaz yang terdapat di dalam kitab-kitab yang terdahulu, hadis-hadis Qudsi adalah tidak dikira mukjizat, kerana ia tidak terlindung daripada diubah dan dipesongkan kandungannya. Namun begitu, al-Quran sentiasa dilindungi oleh Allah sehingga hari kiamat.


4. Al-Muta'abbad bi Tilawah
Bermaksud ganjaran bacaan yang dikurniakan oleh Allah untuk Qiraat yang mutawatir. Maksudnya, bagi Qiraat yang Ahad dan hadis-hadis Qudsi tidak akan mendatangkan ganjaran daripada Allah sekiranya kita membacanya.

5. Al-Maktub fi al Mashaf
Bermaksud bahawa setiap lafaz al-Quran ditulis di dalam satu mashaf atau kitab yang boleh dibaca dan ditatap. Manakala, ayat-ayat yang dimansuhkan oleh Allah tidak dinamakan ayat al-Quran kerana ianya tidak lagi dibaca dan ditulis di dalam kitab Mashaf.

6. Al-Manquul bi al-Tawaatur
Bermaksud bahawa al-Quran diriwayatkan secara mutawatir dan bersambung kepada Nabi ﷺ dengan sempurna. Manakala, bacaan seperti Qiraat yang Ahad, dan tidak sempurna atau cacat, tidaklah dinamakan al-Quran kerana ianya tidak bersambung sanadnya (mutawatir) dan diriwayatkan dengan jalan yang lemah dan tidak sempurna.

0 comments:

Post a Comment